Search This Blog

Friday, April 1, 2011


LAPORAN PROGRAM KHIDMAT BAKTI  MENCERIAKAN  KAWASAN  SEKOLAH
                                                                                                                      
Pada 22 Julai yang lalu, kumpulan kami menjalankan program khidmat bakti menceriakan kawasan sekolah. Pada  pukul 7.30 pagi, kami berkumpul di  tempat menunggu bas  IPDA untuk menaiki bas menuju ke  SK Bukit Pinang. Perjalanan kami hanya mengambil masa 30 minit untuk tiba di destinasi yang ingin dituju. Kedatangan kami disambut baik oleh Guru Besar SK Bukit Pinang, Encik Azis Bin Abdul Rahman. Kami diberi taklimat terlebih dahulu oleh guru besar. Encik Azis  menceritakan serba ringkas pencapaian  yang telah diraih oleh SK Bukit Pinang. Menurut beliau, SK Bukit Pinang merupakan sekolah yang cemerlang dari segi kurikulum dan kokurikulum. Malahan juga, sekolah ini merupakan salah satu sekolah  yang ceria  di negeri Kedah. Selepas sesi taklimat, kami bersarapan pagi di kantin sekolah. Makanan yang disediakan sangat enak dan menyelerakan.
Selepas itu, kami dibahagikan dalam beberapa kumpulan. Kumpulan pertama ditugaskan untuk mengecat  tiang sekolah yang didapati sudah berkarat. Kumpulan kedua  ditugaskan untuk membuat mural di Kitchen Garden. Kumpulan ketiga ditugaskan untuk membuat mural di dinding surau. Kumpulan keempat ditugaskan untuk  mengecat tembok  bunga.
Kumpulan saya terdiri daripada  Siti Aminah, Akmal Adibah dan saya sendiri. Kami  ditugaskan untuk mengecat tembok bunga. Kami dibantu oleh tukang kebun sekolah. Pak mat menolong kami membancuh cat. Kami  menggunakan cat berwarna  kuning dan merah. Menurut Pak Mat tembok bunga ini  dibuat secara gotong-royong oleh penduduk kampung. Kami juga membersihkan kawasan di sekitarnya. Selepas tiga jam berlalu, kami dapat menyiapkan tugasan kami.

Setelah selesai menjalankan tugasan ini, kami membantu kumpulan lain mengecat mural di Kitchen Garden. Mentor kami, Puan Suraya Binti Bai  turut serta membantu menceriakan Kitchen Garden. Kitchen Garden merupakan sebuah kebun yang mempunyai pelbagai jenis tanaman yang boleh digunakan dalam masakan. Antaranya ialah pokok kunyit, pokok  pegaga, pokok lengkuas, dan sebagainya.
Pada  mulanya, Kitchen Garden kelihatan tidak begitu menarik kerana warna catnya sudah luntur. Walaubagaimanapun, hasil kerjasama seisi kelas kami dapat menceriakan semula Kitchen Garden. Kami menambahbaikkan semula pondok-pondok yang terdapat di Kitchen Garden agar nampak menarik  dan menceriakan. Hal ini penting kerana perkara sebegini dapat menarik minat murid untuk datang ke Kitchen Garden  dan mengenali setiap jenis tumbuhan yang terdapat di sekitarnya sekali gus ianya dapat menambahkan pengetahuan murid mengenai tumbuhan.
Setelah selesai  tiga jam membuat tugasan ini, kami  berhenti untuk menikmati juadah makan tengah hari. Menu pada tengah hari itu ialah nasi ayam yang disediakan oleh pengusaha kantin sekolah. Selepas menikmati juadah makan tengah hari, majlis penutup diadakan di kantin sekolah.  Guru Besar mengucapkan jutaan terima kasih kerana sudi menceriakan kawasan sekolah. Mentor  kami, Puan Suraya Binti Bai juga memberikan sedikit ucapan. Beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak sekolah kerana sudi menjemput kami ke sekolah itu dan menyediakan makanan  yang enak. Majlis penutup diakhiri dengan pemberian cenderahati kepada  pihak IPG Kampus Darulaman  dan  warga kelas PK Dua.
Setelah selesai majlis penutup, satu sesi fotografi dijalankan. Menurut guru besar, gambar-gambar kami akan dimuatkan dalam  blog SK Bukit Pinang. Pada  pukul 2.30 petang kami,  pulang ke kolej kediaman  dengan selamatnya.
PROGRAM KHIDMAT BAKTI  MENCERIAKAN  KAWASAN  SEKOLAH

.
 








Beramah mesra  bersama Guru Besar




 








   Menikmati  sarapan pagi


 








  Tuan Syed Khalid Bin Syed Idrus  juga turut hadir


 









Guru Penolong Kanan memberi taklimat


 









Lukisan mural di dinding surau
 







Mengecat di tembok bunga

No comments:

Post a Comment